Isnin, 9 Disember 2013




Syeikh Mutawalli Sya’rawi: Wali Yang Mentafsir al-Quran

Syeikh al-Mutawalli Sya’rawi  dilahirkan pada 19 April 1911 M di Mayyit Ghemar, Daqohliah dalam negara Mesir.
Beliau menghabiskan hidupnya dengan memperjuangkan kalimah Allah SWT. Syeikh menerangkan Islam dengan kefahaman yang sahih, menafsirkan al-Quran dengan uslub yang tiada bandingnya hingga mampu menarik pendengar.
Mendapat syahadah (ijazah) tertinggi dari kuliah Lughah Arabiah pada tahun 1941 M dan Syahadah 'Alimiyyah dengan kebenaran mengajar pada tahun 1943.
Beliau  pernah bertugas sebagai tenaga pengajar di Maahad Dini Tanta, Ma'ahad Iskandariah dan Ma'ahad Zaqaziq, seterusnya dipanggil oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengajar di sana pada tahun 1950.
Kemudian beliau berhijrah ke Universiti al-Malik Abdul Aziz di Arab Saudi sebagai pensyarah Syariah selama 10 tahun.
Dilantik sebagai Timbalan Mudir di Ma'ahad Tanta, di negaranya-Mesir pada 1960 dan dinaikkan pangkat sehingga akhirnya menjadi Menteri Waqaf dan Kementerian Hal Ehwal Azhar pada tahun 1976.
Beliau juga merupakan anggota Majma' Bu'uth al-Islamiyyah, anggota Majlis Syura dan juga Majma' Lughah 'Arabiyyah.
Sejak kecil lagi beliau dikenali dengan nama as-Syeikh al-Amin (yang amanah).
Beliau pernah dipenjara ketika masih menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulama al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan. 

Syeikh Sya’rawi adalah merupakan Saiyidul Abidin yang dikurniakan dengan limpahan cahaya dan dapat melihat dengan cahaya Allah SWT.
Sahabat akrabnya pernah beberapa kali mengintip perbuatannya di waktu malam. Ternyata didapati beliau tidak tidur malah didapati sedang asyik sujud mengabdikan diri kepada Allah SWT. Beliau menghidupkan malamnya dengan berdiri, rukuk, sujud dan membaca al-Quran sepanjang malam sehingga mencapai 70 rakaat solat bertahajjud.

Sewaktu di Madinah dan Makkah, beliau berjalan tanpa menggunakan alas kaki sedangkan darjah kepanasan pada masa tersebut terlalu panas lebih kurang 50 C kerana memuliakan tempat tersebut.
Ketika berada di Masjidil Haram beliau tidak melaksanakannya seperti orang lain; di mana kebiasaannya bertawaf sebanyak tujuh kali.
Rasa cintanya kepada Allah terlalu mendalam, walaupun dalam keadaan panas yang amat terik beliau  bertawaf kadang-kadang sehingga 14, 21 dan 28 kali.
Beliau pernah menegur pemerintah Arab Saudi supaya maqam Nabi Ibrahim AS tidak dipindahkan dari tempat asalnya. Syeikh  berpendapat bahawa maqam tersebut adalah tempat peribadatan haji dan tidak boleh diubah.

Beliau menyayangi kanak-kanak dan insan lain lebih dari anak-anaknya sendiri. Kecintaannya terhadap Rasulullah SAW terlalu mendalam sehinggakan beliau sentiasa bertasbih dan bersalawat kepadanya.
SIFAT DERMAWAN
Beliau juga adalah seorang yang mantap ilmunya, kuat ingatannya dan insan kamil lagi mutakamil. Sewaktu membeli Syeikh tidak mengambil baki wang yang dihulurkan malah menyenangkan orang lain dalam muamalahnya.
Sifat dermawannya tidak dapat disangkal lagi malah beliau adalah orang yang tidak pernah jemu menyalurkan gajinya di jalan Allah. Syeikh menafkahkannya kepada faqir miskin di Daqadus dan tempat-tempat lain yang memerlukan.
Namun beliau bukanlah seorang yang berbangga dengan amalnya malah beliau sentiasa menutupi setiap sumbangannya agar tidak diketahui oleh ‘tangan kirinya’.

Syeikh diamanahkan memegang jawatan wazir hanya dari tahun 1976 hingga 1978. Beliau tidak mahu lama memegang jawatan kerana jawatannya itu tidak memberikan kesan besar untuk  melaksanakan Islam dengan baik.
Pada suatu ketika; sewaktu diminta oleh sahabatnya untuk membela dirinya yang difitnah, beliau hanya memperingatkan sahabatnya dengan ayat Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman dan yang sentiasa mendoakan bagi mereka yang sesat akan mendapat hidayah dan petunjuk dari-Nya”.




Beliau telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan ilmu yang tinggi, ingatan yang kuat serta peribadi yang sempurna. Sewaktu beliau menjawat Menteri Waqaf Mesir, seorang doktor pernah berkata : "Aku bimbang apabila kamu menjawat jawatan ini, ia akan menyibukkan kamu dalam banyak perkara". Lalu Syeikh menyatakan : "Bertenang! Sesungguhnya mereka (kesibukan) tidak akan dapat menewaskan aku."
Beliau lebih gemar tinggal berhampiran dengan kawasan Hussain dan sentiasa menziarahi maqam Saiyyidah Nafisah serta sentiasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Masjid Hussain.
Syeikh juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Salah seorang anaknya, Ahmad berkata bahawa ayahnya telah mengkhaskan gaji kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan Doqdus (kampung beliau). Beliau juga mengkhaskan bayaran ceramah di radio-radio dan televisyen serta tulisan-tulisan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah untuk kebajikan.
Wang 250 juta Pound Mesir (lebih kurang 73 juta  Dollar AS) yang merupakan hadiah daripada Raja Dubai telah didermakan sebanyak 500,000 Junaih (lebih kurang 146,000 Dolar AS) kepada pelajar-pelajar al-Azhar.
Lebihannya telah didermakan kepada Kementerian Waqaf bagi diedarkan kepada penghafaz-penghafaz al-Quran.




PERISTIWA DI PERSIDANGAN
Pada  suatu muktamar Islami yang menghimpunkan para ulama’ muslimin telah dijalankan dalam tempoh selama seminggu. Syeikh Sya’rawi adalah di antara tokoh ulama’ Mesir yang dijemput untuk menghadiri muktamar tersebut.

Pada hari pertama muktamar, Syeikh Sya’rawi telah melihat pada diri pengerusi muktamar tersebut yang juga merupakan seorang ulama’ suatu perubahan besar dari segi keilmuannya dan makrifah yang tidak ada pada masa-masa sebelumnya.
Lalu, syeikh bangun menuju ke podium dan berkata, “Aku akan mengajukan suatu soalan kepada kamu dan aku inginkan jawapannya. Soalannya ialah : Ke manakah perginya air mandian jasad Rasulullah SAW?”. Iaitu yang dimaksudkan beliau ialah air yang digunakan ketika dimandikan jenazah Baginda SAW.

Akan tetapi apabila soalan itu diajukan, tidak ada sesiapa yang menjawabnya. Semua orang senyap dan berdiam diri kerana tidak tahu akan jawapannya. Pengerusi muktamar itu juga merasa sangat terkejut dengan soalan tersebut dan mengatakan dalam dirinya, “Bagaimana aku tidak mengetahui akan jawapan soalan ini?”. Lalu beliau mengambil jalan keluar daripada persoalan ini dengan mengatakan, “Berikan kami peluang masa, kami akan jawab soalan kamu pada pertemuan esok insya-Allah”.

Maka beliau pun pulang ke rumahnya dan tidak melakukan apa-apa selain daripada terus memasuki perpustakaan khasnya untuk mencari, meneliti dan membelek kitab-kitab bagi mencari jawapan kepada persoalan itu. Beliau telah menghabiskan masa yang lama dalam pencariannya, hingga diselubungi keletihan dan akhirnya terlelap tidur di atas kitab yang dibacanya.

RASULULLAH MEMBERI JAWAPAN

Ketika ulama itu tidur, Rasulullah SAW telah datang bertemunya dalam mimpi dan bersama baginda seorang lelaki yang memegang sebuah  pelita.
Maka dengan segera beliau menuju kepada Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, ke manakah perginya air mandian jasadmu?”.
Lalu Baginda SAW mengisyaratkan kepada lelaki pemegang pelita yang berada di sisinya (supaya menjawab soalan itu). Kemudian lelaki itu pun menjawab, “Air mandian Rasulullah SAW menyejat naik ke langit dan kemudian turun ke bumi dalam bentuk hujan. Setiap titisannya yang jatuh ke bumi, dibina di tempat itu masjid”.
Maka, terjagalah beliau daripada tidurnya dalam keadaan yang sangat gembira kerana telah mengetahui jawapan kepada persoalan tersebut.
Keesokan harinya, pengerusi muktamar itu hadir untuk hari kedua dan menunggu persoalan yang telah dilontarkan oleh Syeikh Sya’rawi untuk diutarakan semula.
Akan tetapi Syeikh tidak bertanya. Di hujung muktamar pada hari kedua, akhirnya beliau bangun dan berkata kepada Syeikh Sya’rawi, “Kelmarin kamu telah bertanyakan satu soalan. Adakah kamu ingin mengetahui jawapannya?”.

Syeikh berkata : “Adakah kamu mengetahui jawapannya?”.
Beliau menjawab : “Ya”.
Syeikh bertanya : “Maka ke manakah perginya air mandian Rasulullah SAW?”.
Beliau menjawab : “Air mandian Rasulullah SAW menyejat naik ke langit dan kemudian turun ke bumi dalam bentuk hujan. Setiap titisannya yang jatuh ke bumi, dibina di tempat itu masjid”.
Syeikh bertanya lagi : “Bagaimana kamu mengetahuinya?”.
Beliau menjawab : “Rasulullah SAW telah datang kepadaku dalam mimpi (memberitahukan jawapannya)”.
Syeikh berkata : “Bahkan seorang lelaki yang memegang  pelita yang menjawab kepada kamu”.
Maka ulama’ itu terus merasa terperanjat dan terpegun, lalu bertanya, “Bagaimana kamu mengetahui perkara itu?”.
Lalu Syeikh Sya’rawi menjawab bahawa beliaulah lelaki yang memegang  pelita yang berada di sisi Rasulullah SAW dalam mimpi ulama’ itu.
Peristiwa ini telah memberikan kesan yang cukup mendalam kepada para hadirin dalam muktamar tersebut dan memeranjatkan semua orang. Hal ini menunjukkan kedudukan maqam yang tinggi beliau di sisi Allah Taala dan Rasul
Suatu hari, umat Islam Mesir , bahkan seluruh dunia  terkejut dan tersentak apabila Syeikh Sya’rawi- yang memperjuangkan Islam sehingga digelar sebagai "Lampu Kebenaran" telah meninggal  ketika berumur 87 tahun.
Sebelum meninggal dunia, beliau telah mengumpulkan anak-anak cucunya lalu berwasiat agar tidak bergaduh dalam masalah harta.
Beliau mengalami kesakitan  pada dadanya menyebabkan beliau tidak mampu untuk bernafas dengan baik dan sakit tulang.
Anak saudaranya yang bernama Hajah Suad menyatakan bahawa sewaktu hampir saat kematian, beliau cuba untuk bangun dan berteriak dengan suara yang jelas sehingga didengari oleh orang yang berada di sekelilingnya.
Kata Syeikh: "Selamat datang wahai Hussain ! Kamu telah datang sendiri berjumpaku, aku gembira dengan kedatanganmu". Kemudiannya, beliau melafazkan ucapan hamdallah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Jenazah beliau telah dikebumikan di kampungnya ( Doqdus) berdasarkan wasiat beliau sendiri. Jenazahnya telah dihawa oleh anak-anak muridnya, penduduk kampung serta semua pencinta beliau. Hampir sejuta orang telah menghadiri pengkebumian beliau.
Rujukan:wikipedia,  Lembaran Hidup Ulama, http://khalifahalhidayah.blogspot.com/2013/03/Kisah-yang-Sangat-Mengagumkan


Jumaat, 2 Ogos 2013

Apa kesudahan nasib Presiden Mursi?

Nasib Al-Sisi dan Mursi Dalam Gelombang Ganas Demokrasi Mesir

Ramadhan yang mulia hampir berlalu, Syawal pun menjelang namun nasib Muhammad Mursi, Presiden Mesir yang dikudeta oleh tentera pimpinan Jenderal Abd Fattah Al-Sisi masih tidak menentu.
Mursi tidak berada di dalam tahanan tentera dan masih hidup, namun di mana bekas presiden itu disembunyikan oleh Jenderal Abd Fatah Al-Sisi?  

Pengikut setianya yang majoritinya dari kumpulan dakwah Ikhwanul Muslimin terus gigih berdemonstrasi untuk menuntut supaya beliau dibebaskan dan ditabalkan semula sebagai presiden yang sah secara demokrasi sebelum kudeta pada 3 Julai.

Tentera Mesir di bawah regim Jenderal  Al-Sisi mendapat restu serta dokongan daripada Amerika Syarikat (AS) dan regim Zionis  mendakwa bahawa beliau  mengambil alih (sebenarnya kudeta) demi menyelamatkan demokrasi di Mesir. 

Mereka mencipta pelbagai program batil bahkan pada pertengahan Ramadhan lalu menyeru penyokongnya bangkit mengadakan demonstrasi tandingan secara besaran untuk menyokong tindakan jahat dan haram beliau.
Namun takdir Allah telah menghentikan seruan jahat itu apabila seorang Komandan Tentera Angkatan Bersenjata ketiga, Jenderal Usamah Askar bangkit menyangkal arahan jahat Al-Sisi itu.
Kata jenderal yang berpengkalan berhampiran Sinai itu bahawa seruan Al-Sisi itu tidak perlu dipatuhi dan patut dikecam kerana menggalakkan pertumpahan darah dan perang saudara sesama rakyat Mesir-sedangkan fungsi tentera  adalah sebagai pelindung rakyat dan keamanan negara.

Selain itu ulama besar ahli sunnah, Prof Yusuf al-Qaradhawi juga turut membantah seruan Al-Sisi yang nampaknya semakin terdesak untuk kekal berkuasa.

Walaupun Jenderal Al-Sisi telah melangkah jauh dengan melantik Perdana Menteri yang dikatakan berjawatan sementara menunggu pilihanraya dalam masa setahun. Namun berjuta-juta rakyat Mesir terus berdemo menuntut supaya Mursi diberikan semula jawatannya dan tidak mahu surut mengalah. 

Itulah suatu skenario suram yang tidak mungkin dapat mengembalikan demokrasi sebenar yang baru dinikmati kira-kira dalam masa setahun di negara piramid itu.

Tariq Ramadhan, cucu allahyarham Hasan al-Banna (pengasas Ikhwanul Muskimin) yang menjalani kehidupan di Barat (pentas subur demokrasi) tidak pernah alpa dengan tipu daya Yahudi dan Nasara.

Beliau  hidup dalam buangan di Swiss sejak belasan tahun lalu memberi analisis tajam tentang siapa dan bagaimana disebalik kudeta ke atas   Mursi pada 3 Julai itu.

Pada beliau semua itu jelas adalah sandiwara jahat Barat yang dikepalai AS dan Yahudi dan aktor utamanya ialah Jenderal  Al-Asisi, El-Baradei, pimpinan Salafi melalui Parti An-Nour dan Koptik.

Kata Tariq,  media Barat  melabel kaum Salafi sebagai “parti Islam”  sekutu Ikhwanul Muslimin, tetapi yang sebenarnya  kaum Salafi itu hanyalah menjadi  sekutu regim negara Teluk yang  menjadi  sekutu regional AS.

Tujuannya adalah untuk merosak kredibiliti agama  Ikhwanul Muslimin, dan memaksa ikhwan ke arah menjadi ekstrem.
Pada ketika penggulingan  Mursi, mereka tidak hanya mengkhianati tetapi kaum Salafi juga meuar-uarkan strategi bersama-sama dengan sekutu strategis supaya seluruh dunia dapat melihat.
Ia suatu hal yang tidak menghairankan  kerana negara pertama yang mengakui kudeta regim baru itu adalah  Emirat Arab Bersatu, Arab Saudi dan Qatar. Negara itulah yang   memberikan dokongan kewangan langsung dan tidak langsung terhadap Salafi Mesir itu.
Analisis dangkal mungkin akan membawa kita untuk percaya bahawa Arab Saudi dan Qatar mendukung Ikhwanul Muslimin, tetapi sebenarnya  negara  tersebut adalah wakil kekuatan AS di wilayah timur tengah.
Strateginya adalah untuk menabur perpecahan di antara berbagai kecenderungan Islam politik, untuk meniup konfrontasi dan untuk mengacau-bilaukan. Strategi yang sama bertumpu pada perbezaan parti politik Sunni dan memperburuk perpecahan antara Syiah dan Sunni.
Pencetus utama  El-Baradei, telah memainkan peranan  dan  dia  bergabung erat dengan para cyber muda dan gerakan 6 April sejak tahun 2008. Dokumen Jabatan Luar Negeri AS membuktikan bahawa mereka  sangat rapat  dengan pemerintah AS.
Visinya telah dilakukan dengan cermat, dan meskipun ia telah ditolak sebagai Perdana Menteri, dia telah muncul sebagai pemain penting di pentas politik.

Apakah kesalahan Mursi ? Pada Tariq, sebagai presiden, Mursi  hanyalah  manusia yang sederhana, kurang pengalaman dan sedikit kesalahan (program) yang dirangka bersama dengan sekutunya, khususnya Ikhwanul Muslimin.

Tambah Tariq, Presiden Mursi tidak dapat menerima kritikan  dan tidak membina hubungan  seperti  mengundang mereka untuk bersama-sama dengan pemerintah atau untuk mengambil bahagian dalam dialog nasional yang lebih meluas.
Faktanya, bagaimanapun, bahawa gaya pengurusan pemerintahnya  telah gagal untuk mengambilkira sebahagian suara rakyat dan bahkan daripada beberapa penasihat yang terbaik.
Hubungan  eksklusifnya  dengan  pimpinan Ikhwanul Muslimin menjadikan Mursi selalu membuat keputusan yang tergesa-gesa.
Tetapi pada tingkat yang asas, kesalahan yang terbesar adalah tidak adanya visi politik dan kurangnya kepentingan  politik dan ekonomi yang jelas.
Kegagalan untuk berjuang melawan rasuah dan kemiskinan dan salah urus mengenai urusan sosial dan pendidikan.
Kes bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan penundaan yang disengajakan menjadikan negara dalam keadaan tidak dapat dipertahankan. Mursi dikatakan salah analisis bahawa tabung  itu akan mendokongnya .
Tragis, hanya tiga hari selepas kejatuhan  Mursi, IMF bersiap untuk membantu dan memberi kelonggaran syarat. Perkara ini berlaku setelah penggulingan Mursi.
Kenaifan seorang presiden, pemerintah dan Ikhwanul Muslimin . Setelah enam puluh tahun  di bawah tekanan pihak tentera (dengan persetujuan  langsung dan tidak langsung dari pemerintah AS dan Barat), bagaimana mereka (Ikhwan)  boleh yakin  bahawa mantan musuh  akan mendukung mereka naik ke takhta  kekuasaan untuk ‘bermain gelombang’ demokrasi?
Apakah mereka tidak belajar dari sejarah mereka sendiri, dari Algeria pada tahun 1992, dan baru-baru ini dari Palestin?
Kata Tariq Ramadhan lagi: “Saya tetap kritis,  program dan strategi  Presiden Mursi dan Ikhwanul Muslimin , yang kompromi dengan angkatan bersenjata dan AS, mengalah pada hal-hal ekonomi dan masalah Palestin  dan kurangnya kesedaran politik telah menjadikan sesuatu yang merugikan.
 “Cuba  fikir  ketika Presiden Mursi memberitahu Jenderal Al-Sisi, ketika itu sepuluh hari sebelum kudeta , bahawa dia akan menurunkan Al-Sisi; walau sebelumnya ia juga yang melantiknya dan  Mursi pula yakin pihak AS “tidak akan mengizinkan kudeta tentera ” . Keyakinan Mursi   yang membingungkan .
Tariq  menambah, saya pernah mengulas tentang kecenderungan “revolusioner”di Mesir. Saya juga tidak percaya bahawa peristiwa di Mesir dan di Tunisia, adalah hasil dari pergolakan sejarah mendadak. Masyarakat  kedua negara tersebut ditindas secara kediktatoran, dari krisis ekonomi dan sosial, mereka bangkit atas nama martabat, keadilan sosial dan kebebasan.
Kebangkitan mereka, adalah kerana “revolusi intelektual” dan keberanian mereka haruslah dihormati.
Jatuhnya Hosni Mubarak adalah kudeta tentera juga sebenarnya, yang membolehkan generasi baharu tentera  untuk memasuki pentas politik dengan cara yang baharu pula , dari balik tirai pemerintahan  awam.
Barrack Obama melalui Pentagonnya telah memantau seluruh proses, tahukah sekutu sebenarnya di Mesir selama lima puluh tahun terakhir ini adalah tentera Mesir, dan bukan Ikhwanul Muslimin .
Lihat berita di International Herald Tribune, 5 Julai, dan Le Monde, 6 Julai, dasar AS  mengesahkan apa yang sudah jelas: keputusan untuk menggulingkan Presiden  Mursi telah dibuat beberapa hari sebelum demonstrasi 30 Jun 2013 .
Satu percakapan antara Presiden Mursi dan Jenderal  Al-Sisi menunjukkan bahawa kepala tentera negara itu telah merancang penggulingan dan pemenjaraan presiden seminggu sebelum pergolakan, demonstrasi rakyat yang akan membenarkan kudeta tentera “atas nama demokrasi iaitu kehendak rakyat.”
Al-Sisi licik memainkan strategi! Mengatur demonstrasi melibatkan jutaan orang supaya orang percaya bahawa tentera benar-benar peduli tentang hak rakyat !  Ini kudeta, kudeta babak kedua.
Kemudian kita analisis reaksi langsung dari pemerintah AS, yang mengelak penggunaan istilah “kudeta” (yang, jika diterima, akan bermakna tidak boleh memberikan dokongan kewangan kepada regim baru)?  Pemerintah Eropah pun akan mengekorinya, tentu  imej terbentuk: tentera telah bertindak sebagai “pejuang demokrasi” kerana  panggilan rakyat.
Ini semua terlalu bagus untuk menjadi kenyataan! Ajaib, ini adalah konspirasi. Lihatlah  elektrik padam, kekurangan minyak tanah mendadak dan kekurangan gas alam berakhir tiba-tiba setelah menjelang jatuhnya presiden.
 “Sikap pelik angkatan bersenjata disebut oleh Amnesty International.Mereka tidak melakukan apa-apa tindakan ketika demonstrasi tertentu- meskipun tentera memantau mereka, yang memungkinkan demonstrasi ganas menjadi bebas lepas -  semuanya sudah diatur,” tambah Tariq.
 “Musim bunga Arab” dan revolusi Mesir terus direbut (di hijack) oleh tangan Jenderal Al-Sisi. Ia memang dilatih oleh Angkatan Darat Amerika Syarikat, dan sangat akrab dengan rakan-rakan Amerikanya.
Dikudeta  Kerana Kepentingan Perniagaan Tentera


Lebih kurang  setahun  lalu, Presiden Mesir Muhammad Mursi membersihkan pegawai tinggi tentera mantan regim Mubarak.Mursi  menggantikan mereka dengan mengangkat beberapa jenderal baru yang diharapkan akan setia kepadanya.
Mursi seolah menikmati ‘bulan madu’ selama tiga bulan dengan pasukan bersenjata– dan untuk pertama kalinya – untuk menjadikan tentera  yang solid di bawah kontrol pemerintahan awam.
Namun hubungan mereka memburuk kerana kepentingan tentera ingin lebih dari apa yang diamanatkan Mursi, dan tentera mahu menjadi  sebahagian kepentingan perniagaan utama negara di samping peranan yang memastikan keamanan dan kestabilan  bangsa.
Perbezaan pendapat Mursi dan tentera bermula pada suatu malam di bulan November, bahawa Mursi mengeluarkan dekrit dengan  memberi keabsahan (legitimate) tak terbatas di seluruh negeri pada ketika keadaan ekonomi Mesir yang tergantung selama berbulan-bulan.
Pertikaian mereka mencapai puncaknya pada bulan Jun  lalu , ketika Mursi menyeru  supaya Mesir melawan Ethiopia dan Syria. Seruan tersebut mengancam akan membawa Mesir  ke dalam konflik yang serius.
Menteri Pertahanan Al-Sisi, sebelumnya adalah penyokong parti pimpinan Mursi , dan ia  dipilih oleh Mursi sendiri sebagai Panglima Angkatan Bersenjata.
 Al-Sisi memberitahu presiden pada 22 Jun bahawa ia perlu melakukan lebih banyak program untuk menyatukan negara.
Keputusan tentera untuk melangkah untuk berperanan dalam politik semakin menonjol. Berjuta-juta demonstran anti-Mursi (Tamarod) pun ‘diturunkan’ Al-Sisi ke jalanraya pada lapan hari kemudian.
Dan akhirnya al-Sisi mengumumkan dalam pidato TV nasional pengambilalihan kekuasaan presiden yang pernah mengangkatnya menjadi Komandan Tentera.
Kemudian disusuli dengan pertunjukan kekuatan  jet tempur y di langit Kahirah dan  kereta-kereta kebal bertujuan mempamer kekuatan  tentera  di jalanraya.
Tenterapun  mengendalikan Mesir sepenuhnya. Namun sehari selepas Mursi dikudeta, berlaku demonstrasi secara besar-besaran oleh pendokong presiden di jalan-jalan seluruh bandar utama Mesir.
Walau kini lebih 200  pendukung Morsi dan lawannya termasuk tentera telah terkorban.Demonstrasi berjalan sebelum dan sepanjang   Ramadhan.
Tentera Mesir telah lama memegang kekuasaan penting di seluruh negera , bahkan  banyak para  jenderal yang telah mengubah  menjadi konglomerat perniagaan selama tiga dekad ketika mantan presiden Hosni Mubarak berkuasa.
Kepemilikan perniagaan tentera yang gelap dan besar dan tak tersentuh, dianggarkan menguasai 40 peratus dari perekonomian Mesir.
Kekayaan mereka sangat menonjol walau di  jalan-jalan utama Mesir dipenuhi debu dan asap di mana kebanyakan rakyat mencari rezeki dengan hanya mendapat lebih kurang satu dolar  sehari.
Ketika berita ini ditulis pada 3 Ogos 2013 bersamaan 25 Ramadhan 1434, pengikut pro Mursi masih meneruskan demo secara besar-besaran di Kahirah dan di beberapa bandar lain.
Walaupun Al-Sisi (bersama tenteranya) mengancam akan terus bertindak keras- sudah hampir seribu orang yang mati dan lebih 5,000 yang cedera, namun mereka tetap tegar untuk terus menuntut Mursi dibebaskan.
Kelihatan seolah-olah nasib Mursi hanya  di bawah kawalan Al-Sisi dan bala tenteranya.
Namun pendemo pro Mursi sudah berikrar: “Hanya Allah-lah pelindung kami...”

Memang,  hanya Allah SWT sahaja yang akan menentukan nasib sebenar Mursi dan tentulah juga nasib pengkhianat Al-Sisi di gelombang ganas demokrasi kawalan  AS dan Zionis itu.

Selasa, 30 April 2013

PETUA MENGUNDI DARIPADA WARTAWAN TERPERCAYA


PETUNJUK @ PETUA MENGUNDI DARIPADA  A . KADIR JASIN

Di bawah ini saya petik ulasan wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin yang elok  dijadikan ‘petunjuk’ untuk kita buat keputusan mahu mengundi parti mana pada 5 Mei ini.Sila teliti:

Apa Isunya?

Saya pun tidak pasti lagi apakah yang dikehendaki pengundi atau apa yang ditawarkan kepada mereka oleh parti-parti yang bertanding. Terlalu banyak dan bercelaru.

Jadi saya tidak berani dan berasa sangat tidak layak untuk bercakap bagi pihak orang lain. Justeru itu, saya hanya berani bercakap bagi pihak diri saya sendiri kerana akhirnya setiap orang daripada kita terpaksa putuskan sendiri apakah isu dan perkara yang akan mempengaruhi untuk membuat pilihan.

Bagi saya, berikut adalah isu, hal dan ketetapan yang akan mempengaruhi pilihan saya:

1. Falsafah memilih kerajaan. Kita pilih kerajaan untuk buat kebaikan. Kita tidak pilih kerajaan untuk buat keburukan. Apabila kerajaan yang kita pilih melakukan kebaikan kita tidak perlu memujinya melangit atau berasa terhutang budi. Tetapi kalau kerajaan yang kita pilih itu melakukan keburukan, kita wajib menegur dan mengkritik. Kalau ia tidak berubah, kita tarik balik sokongan kita dan kita gugurkannya apabila tiba pilihan raya.

2. Kita bukan hamba Wakil Rakyat, Menteri dan Perdana Menteri. Merekalah “hamba” kita kerana kitalah yang memilih mereka dan memberikan gajian kepada mereka dengan duit cukai kita. Tanpa undi kita, mereka tidak akan menjadi Wakil Rakyat, Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri.

3. Secara peribadi, batang jerami pertama yang mematahkan belakang kerbau (meminjam dan memadankan ungkapan the straw that breaks the camel’s back) adalah penghapusan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan disusuli oleh pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat dan Akta Buang Daerah. (Tanggungan Kerajaan Pusat dan Parlimen).

4. Bandar dan pekan yang kotor penuh sampah-sarap, tikus dan anjing liar. Longkang yang ditutup dan dilupakan – busuk dan melimpah apabila hujan lebat. Pokok ditumbangkan ribut tidak dipindahkan berbulan-bulan lamanya (contohnya: di Jalan Klang Lama) kerana pegawai tinggi kerajaan lebih sibuk ampu Yang Berhormat daripada berkhidmat untuk rakyat. (Ini tanggungjawab Kerajaan Pusat dan negeri).

5. Keselamatan awam yang semakin meruncing. Jenayah yang semakin menjadi-jadi walaupun KPI dan NKRA kononnya tercapai. Pengarah Kastam mati ditembak siang hari buta di Putrajaya dan Pengarang Urusan akhbar arus perdana yang menguar-uarkan negara aman, negara selamat, KPI hebat, NKRA mencapai matlamat, dirompak di khalayak di kawasan kelas menengah Taman Tun Dr Ismail. Apakah kita sudah lupa kepada janji SAM –
selamat, aman dan makmur ketika PRU lalu? (tanggungjawab Kerajaan Pusat).

6. Kalau kita makmur dan KDNK berkembang pesat, inflasi rendah dan mata wang Ringgit kuat, mengapakah ratusan ribu rakyat jelata berpusu-pusu berebut mendapatkan BR1M, orang merempat semakin banyak di ibu kota dan roti canai semakin kecil ukurannya? (Kerajaan Pusat tolong jawab?).

7. Terowong kenderaan di bawah NKVE berhampiran Tropicana banjir setiap kali hujan lebat sejak dibuka untuk kegunaan umum lebih dua tahun lalu dan Jalan Syed Putra bersebelahan Sekolah Kuen Cheng berubah menjadi tasik setiap kali hujan lebat sudah bertahun-tahun lamanya. Alahai hebatnya jurutera JKR dan Bandaraya Kuala Lumpur. (Apa jawapan Kerajaan Pusat dan Negeri Selangor?).

8. Keamanan negara dinodai oleh penceroboh bersenjata Filipina dan pembunuh upahan bermaharajalela kerana ada Menteri-Menteri yang terlena. Tauke judi haram, pengusaha rumah pelacuran, ketua sindiket along dan samseng jalanan yang bebas lepas kerana tidak ada Akta Buang Daerah dan Ordinan Darurat kini, saling berbunuhan dan memangsakan rakyat jelata. (Kerajaan Pusat tolong jelaskan?).

9. Dan campur tangan anak bini, peniaga permaidani, tukang serapah dan tukang jampi, kawan rakan dan teman dan taulan dalam urusan pentadbiran negara (patut dijawab oleh PM).

Sekatan dan Imbangan Penting

Zaman kerajaan kuat dan monopolistik sudah berlalu. Semakin maju negara, semakin kita memerlukan sistem sekatan dan imbangan
(checks and balances) yang kuat bermula dengan Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri.

Kalau ada pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang memerlukan sokongan dua pertiga, eloklah dilakukan melalui proses tolak ansur dua pihak (bipartisan). Itulah antara beberapa isu yang akan menjadi pertimbangan saya menjelang tibanya hari mengundi 5 Mei. Undi katanya rahsia walaupun nombor siri ada. Nombor siri saya ialah Ee Say Say (244). Kalau nak tikam ekor bolehlah cuba. Tapi orang Islam tak boleh, berdosa.

Saya mengundi di Selangor di mana kerusi DUN ditandingi BN (Umno) dan PAS. Dalam PRU 2008, PAS menang. Bagi Parlimen, BN (MCA) bertemu DAP. Pada 2008, DAP menang. Siapa akan menang kali ini? Wallahualam.