Penubuhan UMCEDEL:
PR dibolehkan ikut berwacana selepas dua dekad
Oleh: Zain A. Ghani
DAPAT mengikuti wacana di Dewan Fakulti F, di Jabatan Sains Sosial dan Sastera, Universiti Malaya pada malam Khamis 14 April lalu sangat menerujakan penulis.
Pun begitu peminat politik demokrasi di negara kita dikejutkan dengan beberapa fakta apabila wacana itu mendedahkan itulah majlis pertama kali diadakan di UM yang dapat membawa masuk tokoh-tokoh politik daripada pihak pembangkang setelah lebih 20 tahun.
Kehadiran tiga tokoh pembangkang (PR); Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR dan Anthony Loke, Ketua Pemuda DAP di samping YB Datuk Saifuddin Abdullah dari UMNO yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi memang menakjubkan.
Sejarah baru pun tercatat dibidani para pensyarah gigih dan berani di universiti tertua dan berprestij itu.
Pada ucapan alu-aluannya Dekan Fakulti Sains Sosial dan Sastera, Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman mengucapkan berbanyak terima kasih di atas persetujuan NC iaitu Profesor Datuk Dr Ghauth Jasmon yang membenarkan wacana bertajuk:”Penyuburan Amalan Demokrasi di Malaysia-Peranan Mahasiswa.”
Wacana diadakan sempena pelancaran Pusat Politik Demokrasi dan Pilihanraya atau rengkasnya UMCEDEL-( University Malaya-Centre of Democracy & Elections) ditubuhkan secara rasmi.
Menurut Redzuan, Ghauth Jasmon yang sedang bercuti di Australia telah memberi kebenaran melalui telefon supaya pelancaran dan wacana dapat berjalan lancar.
Kehadiran pelajar pada malam itu memberangsangkan kerana lebih ¾ daripada dewan fakulti dipenuhi oleh pelajar UM dan para pelajar universiti dari Lembah Klang sehinggalah ada yang datang dari UMP, Kuantan Pahang.
Pada sesi soal jawab di akhir wacana kedengaran soalan-soalan daripada empat siswa yang meminta supaya wacana serupa seharusnya kerap diadakan dan dibenarkan membawa para tokoh bukan sahaja daripada pihak pemerintah tetapi juga daripada pembangkang.
Dan wacana yang sedemikian bukan dianjurkan oleh dekan fakulti, tetapi harus dikembalikan kepada mahasiswa untuk menganjurnya sebagaimana tradisi lebih 20 tahun dahulu.
Terdapat pertanyaan dan meminta jaminan dan penegasan daripada Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi agar dibenarkan pelajar/siswa dapat mengadakan wacana di dalam suasana aman tanpa ganggu-gugat sebagaimana berlaku di UKM beberapa bulan lalu ketika wacana tentang AUKU.
Menurut siswa yang minta penegasan dan jaminan –banyak siswa yang terlibat di dalam wacana itu telah dikenakan tindakan tatatertib kerana membawa masuk beberapa tokoh pembangkang ke UKM.
Seorang siswa bertanya meminta penegasan serta jaminan Saifuddin sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi supaya tidak melarang pelajar-pelajar daripada aktif dan mengadakan wacana politik di kampus-kampus di mana mereka belajar.
“Ini tidak- sehinggakan sama ada nak menyimpan janggut ataupun tidak menjadi serba salah-kerana dianggap penyokong PAS !” kata seorang siswa yang bertanya yang datang dari luar UM.
Menjawab soalan siswa Saifuddin Abdullah mengatakan tidak ada sebab yang munasabah untuk menyekat siswa daripada berwacana kerana :”Jika kita menyekat usaha sedemikian-itu seperti kita menyekat mereka daripada berfikir, sedangkan sebagai siswa di universiti seharusnya mahir serta matang berfikir terutama di dalam menganalisis isu-isu berkaitan pembelajaran termasuk politik demokrasi.”
Di forum, Saifudin Abdullah turut bersetuju agar pilihanraya dijalankan sendiri oleh mahasiswa tanpa campur tangan orang lain. “Walaupun kita mungkin perlu kepada pindaan perlembagaan universiti.”
AUKU yang mula-mula disentuh Anthony Loke menjadi isu yang hangat sehingga di peringkat penggulungan kesemua panel bersetuju bahawa pindaan terhadap AUKU perlu dilakukan segera supaya mahasiswa tidak lagi lagi “kaku” disebabkan akta yang mengongkong itu.
Di peringkat penggulungan, ketiga-tiga wakil dari PR bersetuju agar ianya dihapuskan terus.
Saifuddin Nasution menggunakan peluang bercakap di hadapan warga universiti tentang beberapa perkara yang telah dilakukan oleh PR di Selangor.
Saifuddin turut menyindir pelantikan perunding komunikasi oleh kerajaan, APCO yang berkos 77 juta dan turut mempersoalkan keperluan pertemuan PM dengan Obama.
Tokoh bukan Melayu yang tidak kurang hebatnya, Anthony Loke berkata bahawa perbezaan pendapat di dalam menyatakan idea adalah sesuatu proses percambahan idea yang baik.Itulah yang sepatutnya berlaku di universiti, bukannya dilarang atau disekat.
Tidak kurang menyerlah Salahuddin Ayub yang menampilkan PAS adalah parti yang progresif dan sedang memenangi hati rakyat.
Beliau menyebut tentang suatu kajian bebas yang diterbitkan baru-baru ini mendedahkan bagaimana pelajar tahun akhir dari sebuah universiti (bukan UM) yang ditanya tentang apakah Dasar Ekonomi Baru, Liberalisasi Ekonomi atau IMC –tetapi mereka tidak tahu langsung tentangnya.
Ia adalah satu kemunduran kepada pelajar universiti yang tentunya sedikit sebanyak adalah kerana AUKU.
Dalam bahasa lembut, Salahuddin tetap menampilkan ketegasan :
“Kepada parti yang diberikan mandat, teruslah memerintah, tetapi kami mahukan yang jujur (terhadap rakyat), Awas! Jika mereka melakukan perkara-perkara yang tidak baik, kami akan berikan mereka pengajaran menurut (peruntukan) sistem politik yang ada di dalam negara kita masa ini!” tegas salah satu daripada Naib Presiden parti Islam itu.
Keseluruhan wacana berjaya dan memberi pemikiran dan semangat baru kepada mahasiswa dan juga para pensyarah yang turut hadir.
Tidak lupa tahniah dan syabas kepada Timbalan Naib Chanselor Prof Datuk Dr Jamil Maah yang turut “memberanikan”diri serta memberi sokongan beserta para profesor dan pensyarah UM yang telah memecahkan “ruyung” untuk menjayakan wacana demokrasi dan penubuhan UMCEDEL.
Suatu masa nanti kita mahu lihat PM Datuk Seri Najib akan digandingkan untuk berwacana dengan MB Kelantan, Datuk Nik Aziz, Lim Kit Siang dan lain-lain di pentas anjuran UMCEDEL demi kelangsungan dan penyuburan demokrasi di negara kita.