Ahad, 16 Ogos 2009

Puasa menjinakkan nafsu

Menjinakkan Hati yang Liar

Ramadhan, mestinya dapat membuahkan peribadi yang mampu menahan diri. Kerana dalam puasa, kita dilatih mengendalikan hawa nafsu

-Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam (SAW) tengah berada di masjid. Ketika itu, beliau dikelilingi para sahabatnya. Tidak berapa lama, seorang Badui (penduduk Arab pegunungan) datang dan meminta barang-barang berharga dari beliau.

Sambil berdiri, Si Badui menyampaikan hajatnya. Nabi memberinya sesuatu ala kadarnya. Namun Si Badui merasa kurang. Tidak hanya itu, bahkan berkata kasar dan keji terhadap Nabi. Menyaksikan peristiwa tersebut, para sahabat nyaris bertindak kasar terhadap orang yang tak tahu sopan itu. Untunglah, Nabi cepat mencegah.

Esoknya, Nabi mengajak Si Badui itu ke rumahnya, dan menambahkan sejumlah pemberian lain untuknya. Hari itu, Si Badui menyaksikan dari dekat keadaan Nabi yang ternyata tidak sama dengan keadaan pemimpin-pemimpin lain yang pernah dilihatnya. Di rumah Nabi, dia tidak mendapati harta yang banyak. Melihat itu, Si Badui merasa cukup dan mengucapkan rasa terima kasihnya kepada Nabi.

Di lain hari, Badui ini kembali datang ke masjid. Di depan para sahabat yang nyaris bertindak kasar kepadanya, Badui ini menyampaikan sekali lagi rasa terima kasihnya kepada Nabi. Menyaksikan perubahan besar sikap Badui itu, semua sahabat tertawa.

Rasulullah SAW kemudian menghadap sahabat-sahabatnya dan berkata: “Antara aku dan orang semacam ini bagaikan seorang yang terlepas untanya dari pemiliknya. Semua orang mengejar unta itu sambil berteriak, tapi unta itu terus berlari semakin jauh. Kemudian pemilik unta itu berkata: ’Aku lebih tahu bagaimana menjinakkan unta itu. Kalaulah kelmarin aku biarkan kalian bertindak sesuka hati tentu Si Badui ini mungkin mati dalam keadaan yang celaka (keadaan kufur). Tapi aku larang kalian, dan aku menjinakkannya dengan lemah lembut dan kasih sayang.”

Menghadapi orang yang berhati liar, kurang ajar, apalagi kelewat atas, sering kita terpancing marah dan reaktif. Terasa nyeri di dada yang tak tertahankan untuk diledakkan. Itu pula yang dirasakan sebagian sahabat. Begitu Badui mengata-ngatai dengan kasar kepada Nabi, mereka terpancing berbuat kasar, guna memberi pelajaran setimpal. Namun, Nabi telah memberikan pelajaran kepada kita dengan tindakan yang lebih patut kita teladani: menjinakkan hati yang liar.

Menahan Diri

Dalam kehidupan sehari-hari, ternyata tidak mudah menyikapi orang yang liar dan memancing marah seperti itu. Emosi yang meluap membuat kita bertindak spontan tanpa fikir panjang. Rasanya, ketika itu tak ada pilihan lagi kecuali melampiaskan kemarahan hingga puas.

Benarkah demikian? Seketika setelah melepaskan amarah, boleh jadi jiwa terasa lega. Jelasnya, bersikap dan bertindak emosional bukan menyelesaikan masalah, tapi malah membuat keadaan semakin keruh. Masalah yang sebenarnya bisa diselesaikan dengan cara sederhana, justru semakin rumit.

Untuk merespons tindakan bodoh orang lain, tidak perlu emosional. Cara paling tepat adalah menahan diri. Dengan menahan diri, emosi yang berkecamuk akan reda. Fikiran yang semula keruh berangsur jernih. Air kolam jiwa, yang semula bergolak dan keruh, akan berangsur tenang dan teduh. Bukankah kita hanya bisa bercermin diri pada air yang tenang? Persoalan yang ada, boleh kita lihat apa adanya, bukan dikotori perasaan kita yang sedang berkecamuk itu.

Pada kenyataannya, kemampuan menahan diri akan banyak menyelesaikan masalah. Mereka yang mampu menahan diri, lebih rjaa dalam profesi maupun kehidupan sehari-hari daripada yang reaktif. Mereka bisa menjalin komunikasi dengan orang lain lebih selaras dan harmonis.

Kalau dahulu orang sibuk dengan IQ (kecerdasan intelektual), sekarang bergeser pada EQ (kecerdasan emosi). Bahkan tren terakhir, ada kecerdasan yang lebih menentukan lagi, yaitu SQ (kecerdasan spiritual). Rasul dalam teladan di atas menggambarkan bagaimana beliau amat cerdas secara emosional dan spiritual. Bagaimana kita bisa menjadi orang yang terkendali seperti beliau?

Ramadhan, mestinya dapat membuahkan peribadi yang mampu menahan diri. Kerana dalam puasa, kita dilatih mengendalikan hawa nafsu. Saat ada orang yang memancing kemarahan, Rasul memberikan tuntunan; katakanlah: “Sesungguhnya saya orang yang berpuasa.” Kita tidak melayaninya dengan emosional tetapi bersikap sabar dan teguh. Tidak reaksioner. Inilah puasa yang diajarkan Rasul. Tidak sekadar menahan makan dan minum, tetapi juga menahan segala sikap dan kelakuan yang tidak senonoh.

Berbahagialah orang yang telah meraih buah puasa ini. Kerana dia menjadi insan unggul yang memiliki kecerdasan emosional itu. Dan itulah salah satu wujud nyata dari takwa.

(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran [3]: 134).

Tindakan Kasih Sayang

Secara fitrah, setiap orang memiliki potensi nilai-nilai kasih sayang. Cubalah bersikap tenang dan rileks. Maka respons kita terhadap sekeliling kita akan dengan mudah dapat memancarkan sifat kasih ini. Dengan bibir tersenyum, nilai kasih sayang itu serasa mengalir begitu saja. Kita terasa ringan menolong sesama dan menikmatinya.

Seperti suasana Idul Fitri, dalam keadaan tenang dan jernih nilai-nilai fitrah kasih sayang itu terasa mudah mengalir dan menyegarkan suasana. Orang dengan mudah berlapang dada saling bermaaf-maafan.

Tapi, kita tidaklah selalu menghadapi keadaan yang kondusif seperti itu. Hidup ini adalah ujian dengan segala persoalannya. Di sinilah dinamika hidup nan dinamis. Tiba-tiba muncul di depan kita persoalan yang menyulut amarah. Dalam keadaan demikian itu, apakah kita masih boleh tetap bertindak dengan kasih sayang? Saat demikian inilah kualiti diri kita sedang diuji. Asalkan hati ini tetap tenang dan dapat menahan diri, kita masih dapat melihat dasar fitrah hati. Namun kalau hati bergolak, tentu akan membuatnya keruh. Yang tampak adalah endapan kotoran emosi. Itulah yang akhirnya meledak tidak karuan.

Pengalaman dan kesan selama latihan menahan diri dalam Ramadhan, dapatlah kita jadikan sebagai bekal meniti perjalanan hidup lebih bermakna. Menghadapi persoalan lebih tenang dan jernih.

Terbukti cara Rasulullah menghadapi Si Badui dengan tenang dan kasih sayang, dapat menjadi alternatif tindakan yang lebih baik dari pada membalasnya dengan kasar. Rasul justru mengundangnya ke rumah dan memberi Badui itu segala keperluan meskipun saat itu sebenarnya beliau tidak banyak harta yang dimiliki.

Percayalah, sekeras- keras orang, dalam lubuk hatinya masih apat menangkap pancaran kasih sayang. Begitu menangkap pancaran kasih sayang itu, tali kecapi hati mereka akan tersentuh. Fitrah kasih sayang dalam hati mereka pun tergetar. Kisah di atas telah memberikan gambaran yang sangat jelas. Badui yang semula bertindak kasar itu menjadi luluh. Pancaran kasih sayang dari hati Nabi itu telah menjinakkan hati yang liar itu.

[Hanif Hannan/SAHID/www.hidayatullah.com]

Sabtu, 27 Jun 2009

muslim sri lanka bebas ancaman ltte


Muslim Sri Lanka bebas ancaman LTTE

Terbunuhnya ketua LiberationTamil Tigers Eelam (LTTE), Velupillai Prabhakaran, 54, di Mulaitivvu, di pantai bahagian timur Sri Lanka pada Isnin, 18 Mei lalu adalah kejayaan cemerlang kerajaan Sri Lanka pimpinan Presiden Mahinda Rajapakse.

Di sebalik peristiwa itu, Muslim Sri Lanka yang sekian lama tertindas, bahkan terbunuh di tangan LTTE berasa sedikit kelegaan.Untuk mendapat gambaran terkini tentang peristiwa berdarah di negara itu, ZAIN A. GHANI telah mewawancara DR AZHARUDIN MOHAMED DALI, Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, yang mengkhusus kepada hal berkaitan Asia Selatan. Ikuti pandangan Dr Azharudin.

Dr Azharudin ditemubual Zain A. Ghani di Jabatan Sejarah UM baru-baru ini.

Bagaimana perkembangan terakhir di Sri Lanka, apakah memang benar LTTE telah benar-benar kalah apabila ketuanya Prabhakaran mati dibunuh?

Sebelum itu, saya mahu terangkan latar belakang penduduk negara itu. Kalau mengikut perangkaan 2005, penduduk Sri Lanka sebanyak 21 juta - sebahagian besar penduduk; kira-kira lebih 60 peratus adalah orang Sinhala dan majoriti besar yang kedua adalah Tamil.

Orang Tamil menguasai sebelah utara di semenanjung Jaffna sehinggalah di bahagian pantai ke sebelah timur Sri Lanka.

Manakala Sinhala menguasai bahagian selatan termasuklah di ibu kotanya Colombo dan lain-lainnya.

Orang Tamil ini sebenarnya dibawa ke Sri Lanka oleh penjajah British ratusan tahun dahulu untuk bekerja sebagai buruh di ladang-ladang teh sebagaimana kedatangan orang Tamil ke Semenanjung Tanah Melayu beratus-tahun dahulu. Di Sri Lanka juga terdapat kaum minoriti lain – dan antaranya wujud minoriti Muslim.

Apa yang wujud di Sri Lanka adalah serupa dengan yang wujud di negara kita. Cuma yang berbeza ialah keturunan etnik dan keagamaan sahaja.

Orang Sinhala di Sri Lanka ini menganut agama Buddha, manakala orang Tamil kebanyakannya beragama Hindu.

Itulah latar belakang masyarakat Sri Lanka dan persaingan kaum wujud kerana perbezaan agama dan budaya sehingga orangTamil telah menganggap budaya mereka terancam oleh orang Sinhala yang menganut agama Buddha.

Selepas Perang Dunia Kedua, negara-negara Asia Selatan kebanyakannya telah diberi kemerdekaan termasuklah Ceylon (nama Sri Lanka dahulu) yang merdeka daripada British pada tahun 1948.

Hanya negara kita agak lambat merdeka. Kebanyakan negara Asia Selatan seperti Filipina dan negeri-negeri Indo-China ini menuntut kemerdekaan secara keras dan hanya kita (Malaya) di mana kita Melayu yang majoriti tidak menuntut kemerdekaan secara tekanan (kekerasan).

Sehingga sekarang kompromi orang Melayu sangat tinggi dan memberi kebebasan yang tidak mungkin terdapat di negara lain yang mempunyai penduduk majmuk seperti Malaysia ini.

Kalau di Sri Lanka, untuk menggunakan bahasa Tamil, mereka mendapat halangan daripada orang Sinhala. Semua perkara mahu dikaitkan dengan bahasa Sinhalese.

Apakah pertukaran nama Ceylon ke Sri Lanka ada kaitan dengan “meng’sinhalese’kan” kaum lain?

Itu ada sejarah tersendiri dan menunjukkan orang Sinhala mahu mendapat keabsahan (legitimate)bahawa mereka adalah penduduk peribumi dan negara itu adalah milik mereka (Sinhala).

Dan Budhhism adalah agama utama Sri Lanka. Mereka juga sentiasa menekan penduduk lain yang minoriti dari segi budaya, agama, politik dan ekonomi sehingga perkara ini menjadi asas kepada kemunculan LTTE.

LTTE muncul pada 1960, tetapi mula aktif pada tahun 1970-an apabila Vellupilai Prabhakaran mengambil alih pertubuhan itu. LTTE bermula dengan pergerakan pelajar dan bergiat di sekolah, kolej, dan universiti. Pada awalnya tidak bersifat militan dan agak sopan walaupun mereka turut juga di dalam demonstrasi.

Bagaimana penyertaan Muslim di dalam LTTE?

Muslim di Sri Lanka sentiasa berada di dalam persimpangan. Jumlah mereka tidak ramai , sekitar 2 ½ juta ataupun lapan peratus daripada keseluruhan pendudukan negara itu.

Mereka pula terpecah kepada beberapa kategori. Yang pertama terdiri daripada orang Sinhala yang memeluk Islam. Kedua ialah Indian Muslim, dan seterusnya orang Melayu.

Muslim Sri Lanka ini agak besar jumlahnya yang dikenali sebagai Sri Lankan Muslim, iaitu hampir 90 peratus daripada keseluruhan Muslim di negara itu.

Namun kerana berlaku proses asimilasi dan mereka akhirnya menjadi “sama” dengan orang Tamil, kita dapati mereka terserap ke dalam budaya Tamil, bahkan mereka menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa harian.

Ini terjadi kerana berlaku perkahwinan campur dengan orang luar yang terdiri daripada Arab ataupun Pakistan dan mereka terserap ke dalam masyarakat Muslim.

Jika mereka tinggal di bahagian utara - oleh kerana berada di kalangan majoriti penduduk Tamil - mereka menggunakan bahasa Tamil.

Terdapat orang Melayu (Muslim) yang didatangkan British dari Nusantara secara paksa sekitar abad ke-18. Mereka berjumlah sekitar 500,000 orang dan menggunakan bahasa Melayu campuran bahasa tempatan dan bahasa Tamil.

Orang Melayu banyak terdapat di sebelah pantai timur negara itu dan beberapa kawasan lain yang banyak dikuasai atau dikawal oleh LTTE.

Itulah yang menyebabkan timbul isu dan pertentangan antara orang Melayu Muslim dengan orang Tamil yang menyokong LTTE.

Orang Islam berada di tengah-tengah di antara konflik Sighala dengan Tamil.

Desakan mula muncul sekitar 1990-an apabila orang Tamil mengatakan bahawa Muslim adalah sebenarnya kaum Tamil. Mereka didesak untuk bersama dengan LTTE berjuang menuntut Tamil Eeelam atau negara kaum Tamil.

Tetapi, kerana kebanyakan Muslim ini adalah pedagang, atau pekerja kerajaan, mereka adalah golongan neutral.

Kebanyakan Muslim lebih baik dari segi ekonomi. Mereka adalah pengusaha berbanding penyokong LTTE yang rata-ratanya adalah buruh, nelayan dan petani.

Jika kita melihat pada susunan hieraki di dalam tahap ekonomi: Pertama Sinhala, kedua Muslim dan ketiga Tamil.

Oleh kerana tekanan–tekanan ekonomi, orang Sinhala yang menguasai kerajaan, orang Tamil tidak dapat berbuat banyak untuk memperbaiki ekonomi sehingga menimbulkan reaksi penentangan itu.

Melayu dan Muslim lain yang tinggal berhampiran pantai banyak yang terlibat di dalam aktiviti penangkapan ikan dan dalam pertikaian kerajaan dengan LTTE ini menyebabkan mereka berada di dalam dilema.

Dan dilema semakin parah apabila Prabhakaran mendesak supaya Muslim menyokong perjuangan mereka. Tetapi Muslim tidak mahu bersama (menyokong) perjuangan LTTE.

Saya dapat melihat foto-foto pembunuhan orang Islam oleh LTTE sehingga di dalam masjid. Kenapa mereka begitu bengis dan kejam terhadap Muslim?

Dahulunya mereka membunuh Muslim Sinhala sahaja tetapi merebak kepada Tamil-Muslim/Sinhala pula.

Di wilayah Trincomalee dan Batticalau ini terdapat ramai Muslim dan banyak berlaku pembunuhan pada penghujung 1980-an sehingga 1990-an.

Bermula daripada peristiwa-peristiwa itulah Muslim mula memberi sokongan kepada kerajaan Sri Lanka. Ini semakin menambahkan kemarahan penggerak LTTE.

Banyak insiden di mana mereka dihalau keluar dari kampung-kampung, rumah dirampas dan sebahagiannya dibunuh. Sekiranya mereka nelayan, aktiviti mereka sentiasa diganggu LTTE kerana kawasan pantai bahagian utara dikawal sepenuhnya oleh LTTE.

Nampaknya LTTE mempunyai persenjataan dan bot-bot yang canggih. Dari manakah sumbernya?

Itulah yang menghairankan banyak pemerhati dan penganilisis politik sehingga mengejutkan tentera Sri Lanka dan kita kita dapati sebahagian daripada senjata moden itu didatangkan daripada Tamil Nadu, selatan India.

Kita juga mendapat maklumat bahawa penyokong LTTE ini berada di mana-mana terutamanya di Eropah. Masyarakat Tamil secara keseluruhan, sama ada bersetuju atau tidak, secara terbuka akan memberi sokongan kepada kewujudan sebuah negara Tamil di utara Sri Lanka.

Bagaimana dengan sokongan masyarakat Tamil di luar Sri Lanka?

Pada kebanyakan orang Tamil, mereka melihat perjuangannya sebagai “jihad” dan mereka menganggap sebagai “mati syahid” di dalam konteks itu.

Apabila kita melihat laman web LTTE berhubung peristiwa pembunuhan Prabhakaran, mereka mengatakan dia seorang yang martyr ataupun syahid. Mereka mendakwa konsep perjuangan mereka adalah sama dengan yang dilalui orang Islam di Iraq, Afghanistan atau Kashmir.

Apabila isu etnik dikaitkan dengan agama dan bangsa, maka perkara ini menimbulkan permasalahan di dalam menilai LTTE.

Apakah tindakan kerjaan Sri Lanka seterusnya terhadap LTTE? Apakah akan muncul atau bangkit semula perjuangan LTTE ini?

Ada beberapa perkara yang mahu saya timbulkan. Kita harus beri perhatian. Pertama, kemunculan “Prabhakaran baru” adalah suatu kemungkinan. Walaupun Prabhakaran telah mati tetapi oleh kerana LTTE telah berada lama dan bersemadi di dalam pemikiran masyarakat Tamil, hampir 40 tahun.

Yang terbunuh itu adalah pejuang-pejuang sekarang, tetapi berdasarkan sejarah, sesuatu ideologi tetap akan wujud sebagaimana komunis. Walaupun negara komunis hampir runtuh, tetapi masih lagi wujud ideologi itu. Kini ada di India, Nepal, bahkan China (walaupun kini agak terbuka).

Oleh kerana keinginan wujud sebuah negara Tamil merdeka (termasuk Tamil Nadu, India) akan tetap wujud/muncul. Namun begitu kerajaan Sri Lanka harus terus memantau apa sahaja unsur yang dikaitkan dengan LTTE.

Sebarang organisasi yang ada kaitan dengan kaum Tamil tidak akan diberikan ruang menjadi kuat dan berpengaruh sehingga dapat menjadi kuasa militan.

Pandangan Dr di dalam kes ini demi pembaikan rakyat Sri Lanka , baik Tamil yang Hindu dan Tamil yang Muslim. Bagaimana kalau mereka melihat model negara kita Malaysia yang mesra semua kaum?

Kerajaan Sri Lanka harus memastikan orang Tamil terserap di dalam sistem Sri Lanka itu. Sebelum ini mereka ditindas dan didiskriminasi. Sekiranya kerajaan Sri Lanka tidak mahu melihat kelahiran semula LTTE dan walaupun model kita bukanlah 100 peratus betul, tetapi pada masa yang sama dapat mengurangkan emosi dan tekanan antara etnik.

Isu yang paling penting yang telah kita lakukan ialah persamaan di bidang ekonomi. Di sana (Sri Lanka), oleh kerana jurang ekonomi begitu jauh, inilah yang menimbulkan permasalahan.

Apabila perut kita “kencang”, maka emosi pun terkawal. Ketika perut lapar, kocek kosong, bahasa ibunda pula dinafikan, bahkan maruah hilang. Apa lagi yang tinggal?

Jadi, mudah mereka terserap kepada golongan bersifat kiri dan militan.

Dan juga faktor kewujudan golongan ekstem di kalangan Sinhala sendiri yang cuba menekankan bahawa “Sri Lanka adalah negara kaum Sinhalese sahaja.”

Bagaimana kehidupan orang Islam setelah kematian Prabhakaran?

Orang Islam biasanya moderat - sekiranya ekstrem, mereka benar-benar menjadi ekstem. Tetapi di dalam konteks Sri Lanka, mereka menyedari bahawa mereka adalah minoriti.

Jika kembali kepada sejarah, pada abad ke-8 dan 9 , Muslim menguasai jalan perdagangan di negara itu. Tetapi pada awal abad ke-19, mereka didatangkan dari Tamil Nadu sebagai buruh di ladang-ladang teh dan ada juga yang menjadi tentera.

Harapan kita setelah kematian Prabhakaran dan LTTE-nya adalah kehidupan Muslim dan kaum-kaum lain semakin dihormati rakan-rakan Sinhala.

Sri Lanka yang aman berpotensi besar di bidang industri, pelancongan, hasil buminya yang belum dibangunkan. Ia berpotensi besar seperti Hong Kong dan China.

Sabtu, 6 Jun 2009

KEKELIRUAN ISLAM LIBERAL


Ideologi Islam Liberal sedang meresap dan akan mengancam pemikiran umat di negara kita. Ideologi itu sedang melebarkan sayap di sesetengah IPTA/IPTS dan badan bukan kerajaan. Menyedari berbahayanya ideologi itu, ZAIN A. GHANI menemui PROF. MADYA MOHAMAD KAMIL AB MAJID (foto) dari Universiti Malaya untuk mendengar pandangan ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan yang sedang mengetuai kajian tentang fahaman ini. Ikuti penjelasan beliau.

 

Boleh Prof jelaskan perkembangan serta “kemajuan” gerakan Islam Liberal ini di negara kita, Malaysia?

Apabila kita menyebut latar belakang pengaruh liberalisme terhadap Muslim, ia berlaku di negara kita adalah hasil daripada falsafah liberal yang wujud di Barat. Jadi apabila disebut liberalisme, modernisme, sekularisme, ia adalah “ideologi tiga beradik” yang saling berkait dan tidak dapat dipisahkan.

Sejak abad ke-15 lagi di Barat (terutama Perancis dan beberapa negara Barat) fahaman ini telah wujud ekoran kaum buruh yang tertindas oleh penguasa yang zalim – jadi golongan para ilmuwan dan filosuf mahu menggerakkan kemajuan tetapi ditentang oleh para penguasa yang disokong oleh gereja.

 

Lebih seratus tahun sebelum itu, kerajaan Andalus di Eropah telah mencapai tamadun pesat sehingga ramai pelajar Kristian dari kawasan lain  Eropah datang untuk menimba ilmu…?

 

Memang benar, tetapi setelah kerajaan Islam Andalus terpaksa keluar (mengalami kekalahan) dari Eropah pada 1492 M, barulah bermula gerakan pembaharuan (englightenment) di Eropah.

Diringkaskan sejarahnya, apabila Islam juga mundur; berlakulah “penyerapan” pengaruh Barat yang kita dikesan bermula di Timur Tengah.

Liberalism itu ada dua sahaja. Satunya adalah sebagaimana yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh Islam yang membawa pembaharuan (Islah) seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha. Mereka mahu memajukan (liberal) masyarakat Islam tetapi dengan cara-cara yang dapat dianggap masih di dalam kawalan syariah.

Kedatangan fahaman liberalisme secara sengaja ataupun tidak dikatakan datang bersama kebangkitan semula Islam pada tahun 1970-an. Ia khususnya di Timur Tengah, terutamanya di Mesir.

Jika dirujuk kepada Mesir, apabila golongan Marxisme  menyedari alirannya sudah tertolak; ia mula mengalihkan kepada aliran Islam – tetapi Islam yang dibawa mereka adalah Islam aliran Muktazilah - orang yang berfahaman  kepada akal secara mutlak.

Fahaman ini juga akhirnya sampai kepada peringkat mempertikaikan wahyu.

 

 

Boleh Prof sebutkan tokohnya yang aktif di Mesir sekarang ini?

Antaranya bekas profesor di Universiti Kahirah, Nasr Hamid Abu Zayd yang sekarang tinggal di Belanda. Yang lain ialah Hasan Hanafi, Mohamad Arkoun dan Amina Wadud, di Tunisia terdapat tokoh bernama Ali Harb - mereka yang disebut di atas adalah orang-orang yang mengepalainya.

Perkara utama yang dipertikaikan ialah ilmu-ilmu turath (warisan Islam) sehingga melibatkan al-Quran. Mereka mengadakan tafsiran al-Quran oleh ulama-ulama yang ditolak oleh ulama-ulama besar pada masa ini.

 

Maksudnya tidak relevan dengan suasana semasa?

Mereka mendakwa al-Quran itu bukan wahyu Tuhan yang asli, dakwa mereka wahyu itu sampai kepada Nabi Muhammmad tetapi apa yang dilafazkan Muhammad itu telah dibentuk di dalam bahasa nabi menurut sejarah dan budaya Arab.

Justeru, kononnya yang tertulis {naskhah al-Quran yang ada} bukan maksud al-Quran yang murni (asli). Mereka menyimpulkan al-Quran yang ada sekarang sebagai ciptaan Nabi Muhammad - sebagaimana tuduhan orientalis sebelum ini.

Tambah fahaman itu, kita tidak lagi memerlukan wahyu kerana akal manusia sekarang ini sudah lengkap daripada sudut ekonomi, sosial dan lain-lain tetapi yang paling penting pada manusia ialah akal.

 

Bagaimana ia dibawa ke tempat kita dan berkembang pula, boleh Prof perincikan?

Ajaran ini mempengaruhi pelajar-pelajar Indonesia di Kaherah - yang paling masyhur ialah Ulil Abshar Abdalla; dan idea ini sebelumnya awal 1970-an dicetuskan oleh Nurcholis Madjid yang dianggap Godfather Islam Liberal di negara itu. Nurcholis ialah lepasan Universiti Chicago, Amerika Syarikat yang mendapat pendidikan langsung daripada Prof Fazlur Rahman.

Tetapi Nurcholis tidak selantang dan seagresif kumpulan Ulil Abshar yang dinamakan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang berpusat di Utan Kayu, Jakarta.

Para pelajar Indonesia di Mesir pula dikatakan lebih daripada 60 peratus berminat dengan fahaman Hassan Hanafi.

Mereka mempersoal al-Quran dan al-Hadis sebagaimana Kassim Ahmad  pada 1990-an menerbitkan buku Hadith - Satu Penilaian Semula. Buku Kassim telah diterjemahkan ke bahasa Arab dan kata pengantarnya ditulis Hassan Hanafi. 

 

Jadi dari Mesir masuk ke Indonesia, dan dari Indonesia masuk ke Malaysia. Siapakah pembawanya ke Malaysia?

Kumpulan ini termasuklah  beberapa tokoh di dalam dan yang pulang dari luar negara dan beberapa orang yang sering menggunakan perkataan pencerahan ‘enlightenment.’ Mereka juga marahkan raja dan ulama.

Di Malaysia, kumpulan ini tidak lahir di dalam bentuk pertubuhan seperti Indonesia, tetapi yang kelihatan ialah pengaruh berbentuk idea sebagaimana Sisters In Islam (SIS) dan beberapa penyokong pertubuhan parti politik - termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

 

Kewujudan kumpulan ini tentunya melahirkan “bahaya” kepada masyarakat Muslim. Aspek apa yang Prof nampak?

Bahaya terbesar ialah perpecahan sesama Muslim, perpecahan mazhab, perpecahan politik, ajaran salah dan Islam Liberal ini telah diwartakan sebagai ajaran salah oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sejak 2006.

Begitu juga ajaran Kassim Ahmad juga telah diwartakan, cuma pelaksanaannya terletak di tangan gabenor atau raja di negeri-negeri Malaysia.

JAKIM hanya mampu mengeluarkan fatwa, tetapi pelaksanaan atau penguatkuasaan terserah kepada kerajaan negeri masing-masing.

Satu lagi masalah ialah kumpulan ini akan menyebabkan kekelam-kabutan kepada penafsiran ajaran Islam sebenar.

Apa yang berlaku di Mesir dapat diambil iktibar bahawa fahaman ini sangat berbahaya.

Contohnya ketika berada di Mesir, saya bertemu dengan Jamal, adik Hasan al Banna yang berfahaman liberal. Jamal mengatakan dia tidak lagi menggunakan method asas di dalam Islam seperti berdasarkan al-Quran, hadis ijmak atau qiyas tetapi menggunakan method bebas untuk menterjemahkan perkara berkaitan agama Islam.

Seorang  wanita liberal bernama Nuwal al- Sa’dawi menulis sebuah buku berjudulApabila Tuhan Meletakkan Jawatan. Nuwal seolah-olah telah meletakkan bahawa Tuhan sudah mati - begitulah golongan ini mempermainkan Tuhan.

Tetapi jika kita lihat semula pandangan Hasan Hanafi, ia tidaklah sebahaya itu yang katanya: “Manusia yang mencipta Tuhan….” setakat itu saja.

Golongan Islam Liberal ini berpegang kepada ideologi humanisme Barat.

Mereka berhujah: “Kenapa Allah mempunyai nama  sehingga  99? Kenapa Tuhan itu alim? Kerana manusia itu jahil (tidak mengetahui), jadi manusia mahu satu ideal iaitual-alim - kerana manusia tidak dapat mendengar , tidak dapat melihat. Oleh itu manusia perlukan sifat  sami’ul basyir, iaitu dapat mendengar dan dapat melihat.”

Antara bahaya ajaran ini ialah akan lahir pengikut yang meremehkan al-Quran, meremehkan hadis dan otoriti ulama, ini kerana mereka menganggap ulamalah yang pandai-pandai “mentafsirkan” Islam.

Sedangkan mereka mahu supaya sesiapa sahaja dapat mentafsirkan Islam.

Mereka telah menolak autoriti, kerana pada anggapan mereka autoriti di langit ialah Tuhan, sementara autoriti di bumi ialah raja.

Hassan Hanafi menulis suatu ungkapan pada bukunya Minal Aqidah Ilal Thaurah - yang bermakna “daripada akidah kepada tamadun.” Maksudnya, daripada sekadar asyik membincangkan sifat atau zat Tuhan sahaja, eloklah kita membincangkan tentang revolusi pula.

Antara revolusi anjurannya ialah menghakiskan kuasa Tuhan di langit dan menghakiskan kuasa  raja di bumi, dan juga menghakiskan otoriti para ulama

 

.

Mereka benar-benar yakin apabila apa yang dianggap “dua autoriti” ini terhapus, umat Islam akan menjadi maju?

Ya, kata mereka lihat di Barat di mana tiada lagi kuasa raja dan paderi di gereja dan kononnya akal pun dapat berfungsi dengan lancar. Itulah yang mereka maksudkan dengan pencerahan (enlightenment).

Banyak perkara yang ada kaitan dengan Islam itu mereka anggap dongeng belaka. Umpamanya mereka anti kepada wanita memakai tudung, atau lelaki bersongkok atau berserban kerana kononnya menghalang oksigen - tidak sampai ke kepala.

Oleh itu, kata mereka, ulama-ulama begini jumud sifatnya dan bahkan mengejek  para ulama sebagai keldai-keldai tunggangan sahaja.

Jadi berbetulanlah “apabila Tuhan telah meletakkan jawatan, para ulama juga tidak berperanan lagi.”

Pada tahun lepas (2008), ketika saya  melawat Timur Tengah - terjadi polemik besar antara para ulama dengan Nuwal al-Sa’dawi yang kini melarikan diri dan tinggal di Belanda. Mereka mengadakan sidang video dan berdialog dengan Nuwal, mempersoalkan dakwaan dan penghinaan terhadap agama oleh wanita itu.

Sebelum itu Mahkamah Tinggi Mesir telah memutuskan Nasr Hamid Abu Zayd sebagai murtad dan dipisahkan daripada isterinya.

Jadi, yang jelas pemikiran Islam liberal yang tanpa batasan ini telah mengacau pemikiran umat yang selama ini telah dijaga oleh para ulama. Ekorannya, kumpulan ini sangat marah dan sinis kepada lepasan al-Azhar dan Timur Tengah lain.

Akhir-akhir ini kita dapati ramai pelajar lepasan Jordan yang bergiat menyebarkan fahaman ini dan mendapat bantuan daripada pertubuhan yang dipanggil Konrad Adeneur yang berpusat di Berlin, Jerman.

Yayasan lain ialah yang berperanan  dalam penyebaran Islam Liberal ini adalah  Yayasan Fullbright, Yayasan Toyota, Yayasan Ford, dan Asia Foundation.

Dan di Indonesia, mereka berlumba-lumba menubuhkan Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) atau NGO yang mendapat bantuan badan-badan tersebut untuk mempromosikan Islam Liberal melalui buku-buku dan majalah.

Patut juga disebut  bahawa mantan presiden ketiga, Abdurrahman Wahid (Gus Dur) adalah termasuk tokoh pendukung utama idea Islam Liberal ini.

Gus Dur apabila ditanya sama ada bolehkah menerima bantuan daripada Amerika, kerana di sebalik bantuan tentu ada sesuatu di sebaliknya?

“Tak ada apa-apa, mereka itu wangnya banyak!” jawab Gus Dur selamba.

Orang yang memberi bantuan tentulah ada strateginya.

Yang paling menonjol sekali ialah gerakan feminisme. Walaupun Islam tidak pernah menafikan hak wanita, tetapi gerakan mereka ialah untuk menyamakan wanita dengan lelaki, yang disebutkan sebagai gender.

 

Di Malaysia, ianya di bawa oleh SIS.Antara tokohnya ialah Aminah Wadud yang pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa, apabila balik ke AS  telah membuat satu isu besar dengan mengimamkan solat Jumaat di mana makmumnya bercampur-baur bersama-sama lelaki.

Juga tuntutan wanita sebagai ketua keluarga. Begitu juga mempersoalkan kenapa lelaki berhak berpoligami.

Mereka turut mempersoal kenapa kaum lelaki mendapat nisbah yang lebih di dalam pembahagian pusaka. Seolah-olah ulama bias kepada wanita.

Sedangkan Islam mengiktiraf wanita sama taraf – tetapi lelaki dan wanita itu menyumbang kepada masyarakat dengan fungsi yang berbeza.

Tetapi mereka mahu samakan fungsi di antara lelaki dengan wanita, dan hasil daripada perjuangan yang dipanggil “gender’ ini terhasil banyak wanita yang menjauhi perkahwinan.

Pada mereka adalah hina bagi wanita menjadi “kilang” untuk melahirkan anak kepada lelaki. Jadi mereka melihat sesuatu itu daripada perspektif akal semata-mata.

Bagaimana kita mahu membetulkan perkara yang salah ini?

Di Universiti Malaya kita wujudkan satu kumpulan  yang terdiri daripada tujuh orang, terdiri daripada beberapa pensyarah dan pelajar untuk membuat kajian. Setakat ini kita telah melawat Mesir dan mendapat sumber-sumber asal dan bahan-bahan  yang ditulis oleh tokoh-tokoh dan berkaitan dengan mereka.

Kita juga telah melawat Jakarta, Indonesia untuk mendapat sumber asal daripada tokoh mereka. Kajian kita bukan sekadar luaran tetapi kita telah melakukan kunjungan ke Indonesia untuk mendapat sendiri buku-buku dan tulisan serta merakam dan mendokumentasikan percakapan tokoh-tokoh mereka sendiri di Indonesia.

 

Setakat mana usaha menerangkan kepada masyarakat?

Kita telah mula mengadakan road show ke seluruh negara. Baru-baru diadakan program bersama pejabat Mufti Melaka, dan bersama JAKIM kita telah adakan program di Sabah dan Sarawak, menerangkan pembohongan kumpulan Islam Liberal ini. Kita juga telah pergi ke Terengganu dan akan terus  menerangkan kepada masyarakat seterusnya.

Banyak orang yang terkejut dan bimbang tentang masa depan agama Islam dan mereka meminta kerajaan menguatkuasakan undang-undang supaya dapat membendung dan menyekat pemikiran karut dan jahat ini.

Dan apa yang bahaya selepas itu kebanyakan mereka ini juga berpegang kepada “pluralisme” agama, di mana mereka mendakwa bahawa :“semua agama sama.”

Di Indonesia telah berlaku kahwin silang agama di mana bukan sahaja lelaki Islam berkahwin dengan wanita bukan Islam, tetapi telah berlaku juga lelaki bukan Islam berkahwin dengan wanita Islam.

 

Sebagaimana anak perempuan Nurcholis yang Muslimah berkahwin dengan lelaki Yahudi?

Ketika di Jakarta saya menyelidikinya dan memang benar anak perempuan Nurcholis  berkahwin dengan lelaki Yahudi, dan Nurcholis memberi keizinan - kerana ketika itu dia masih hidup.

Dan yang malangnya di sana terdapat orang bertaraf kiyai yang kerjayanya adalah sebagai “juru nikah” orang-orang yang mempraktikkan silang agama itu.

Reaksi terbaru JAKIM dan jabatan agama negeri?

JAKIM dan jabatan agama negeri-negeri telah mewartakannya sebagai ajaran sesat. Tetapi apa yang membimbangkan saya, terdapat usaha untuk membina kolej ataupun mungkin universiti Islam Liberal di negara kita untuk mempromosikan ajaran sesat ini.

Di Jakarta,  universiti mereka bernama Paramadina, dan golongan ini telah menguasai Universiti Islam Negeri (UIN) Jakarta. Tokoh-tokoh mereka adalah pengajar di universiti itu - antaranya Azyumardi Azra, Komarudin Hidayat, Kausari Noer dan beberapa lagi.

 

Bagaimana mereka gunakan (memanfaatkan) kemudahan IT?

Dengan kedatangan IT dan globalisasi – semua kemudahan dan maklumat dapat diakses oleh banyak orang, dan golongan Islam Liberal telah menggunakan kemudahan ini untuk memperkembangkan idea mereka.

Islam Liberal ini pula dalam rangka hendak memecahkan belah ini membahagikan Muslim kepada dua. Satu, Muslim yang mengamalkan agama dan Muslim yang tidak mengamalkan agama.

Sedangkan Islam tidak membuat pembahagian sedemikian. Seseorang Muslim itu adalah Muslim seluruhnya daripada iman, amalan dan tingkah lakunya - tiada kompromi atau pembahagian.@