Formula baru PR untuk memenangi pilihan raya ke-13
DR. Amer Saifude Ghazali pensyarah di Jabatan Geografi, Jabatan Sains Sosial dan Sastera ,Universiti Malaya yang juga felo penyelidik di UMCEDEL ( Pusat Politik Demokrasi dan Pilihanraya, Universiti Malaya) di temubual oleh Zain A. Ghani untuk mendapat penjelasan tentang prospek politik Malaysia pada pilihan raya ke-13 yang dijangka akan diadakan dalam tahun ini.
ZAIN: Dr dan tim daripada UMCEDEL telah membuat kajian di semua lokasi pilihan raya kecil di Semenanjung bermula di Pilihanraya Parlimen Permatang Pauh sehinggalah yang terbaharu di Tenang, (cuma Batang Ai, Sarawak tidak dapat dibuat kajian kerana bertindih dengan Bukit Selambau, Kedah) .Bagaimana prospek politik Melayu sebagai kaum terbesar (majoriti) terutama UMNO dan PAS pada pilihanraya ke-13 akan datang.Apakah Umno akan terus mendominasi atau politik Melayu kekal terbahagi kepada tiga ; Umno, PAS dan PKR ?
AMER SAIFUDE:Pertamanya, kita perlu akui politik etnik adalah ciri yang tidak dapat diketepikan dalam politik negara. Perkara ini telah dibincangkan oleh Mc Gee (1962), Ratnam (1965), Vasil (1971), Brown (2005). Politik Melayu akan tetap terpelihara sekiranya kawasan pilihan raya parlimen yang bermajoriti Melayu melebihi daripada etnik lain. Pada masa sekarang, kawasan majoriti Melayu berada di sekitar 70-80 peratus.
Undi Melayu secara umumnya akan berpecah sama ada kepada Umno atau PAS. PKR pula mendapat undi yang agak signifikan daripada etnik selain Melayu yang melonjakkan parti tersebut dalam PRU 12. Umno dan PAS mendapat sokongan daripada etnik Melayu yang merupakan penyokong tegar mereka.Walaupun PAS kalah di beberapa pilihan raya kecil (PRK), yang terbaru di Tenang tetapi sokongan kepada PAS tidak banyak berubah. Fenomena yang sama juga berlaku kepada UMNO di beberapa PRK yang lepas. Namun begitu, Umno dan PAS masih memerlukan sokongan daripada etnik lain untuk mencapai lebih banyak kemenangan seterusnya menguasai beberapa buah kerajaan negeri. Dalam PRK ke-12, PAS masih tidak memperolehi sokongan yang signifikan daripada etnik Cina dan India menyebabkan PAS tewas kepada Umno secara keseluruhannya. Sekiranya PAS mendapat sokongan yang lebih besar daripada etnik Cina berbanding Umno, PAS akan dapat mengalahkan Umno.
Politik Melayu dilihat semakin hilang dominasi/signifikan kerana berpecah tiga. Bagaimana agaknya Umno perlu merubah taktik pendekatan untuk terus berkuasa?
Umno perlu mendapat sokongan kelompok Melayu yang atas pagar dan yang paling penting perlu mendapatkan sokongan yang besar daripada etnik Cina dan India. Pastikan sokongan etnik Cina dan India tidak lari kepada parti pembangkang terutamanya PAS dan PKR.
3.Apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak masih selesa dengan keadaan sekarang? Apakah isu utama yang bakal menggoncangkan parti pimpinan beliau sebagaimana kajian UMCEDEL?
Keadaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib masih selamat pada masa sekarang. Beliau dilihat masih mampu meraih sokongan daripada rakyat. Pendekatan dan pembaharuan yang beliau laksanakan masih diterima (termasuk program 1Malaysianya) oleh sebahagian besar rakyat dibantu oleh media massa arus perdana yang menguasai arus maklumat secara keseluruhannya terutama di kawasan luar bandar. Selagi sebaran maklumat dikuasai oleh media massa arus perdana, BN akan dapat bertahan.
Isu sentiasa berubah bergantung kepada suasana poltik, ekonomi dan sosial. Pakatan Rakyat harus membuktikan kepada rakyat mereka adalah pengganti kepada BN. Cara, pendekatan dan strategi harus difikir dan dibuktikan oleh Pakatan Rakyat.
Sebagai felo yang membuat kajian di lapangan, jika dilihat pada pola pengundian lalu-pilihanraya ke-13 nanti berkemungkinan tidak cemerlang kepada pembangkang.
Kenapa?
Sebab pada 2008 ia telah menunjukkan prestasi cemerlang. Sebelum ini pada 1990 , pembangkang agak cemerlang.Pada 1995 prestasi parti pembangkang menurun dan menaik balik pada 1999.
Apakah pola pengundian ini berkait rapat dengan sikap para pengundi atau kerana isu yang di dalam negara?
Pola pengundian bergantung kepada isu yang berlaku, mungkin pada 1990 ialah isu tertubuhnya Parti Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh, pada 1999 isu Anwar dan tahun 2008 isu Anwar masih bersemarak.
Tapi nampaknya isu Anwar tidak berkesan di kalangan Felda sebagaimana berlaku di Tenang?
Orang Felda masih lagi menganggap TV 1, TV 3 dan akhbar perdana sebagai sumber utama berita dan maklumat mereka.Itu mungkin satu masalah kepada parti pembangkang (Pakatan Rakyat).
PKR nampak semakin bermasalah, jika dilihat di Sabah juga banyak yang keluar parti.Media utama seringkali menyerang beliau dengan pelbagai isu-apakah nasib yang bakal diterima DS Anwar Ibrahim pada pilihan raya ke-13 nanti?
Biasanya bila kita lihat serangan media yang kuat; ia secara tidak langsung memberi kesan sebaliknya.Ia menunjukkan Anwar masih memberikan impak kepada parti lawan dan masih relevan dalam politik negara. Beliau mampu mendekatkan PAS dan DAP. Paling penting beliau dapat menarik sokongan etnik Cina dan India kepada Pakatan Rakyat. Ini yang paling ditakuti oleh Barisan Nasional. Sekiranya sokongan etnik Cina dan India beralih kepada Pakatan Rakyat, BN berada dalam bahaya.
Setakat ini kita lihat PKR sedang menempatkan diri di posisi yang baik-di mana dapat menyatukan undi daripada Melayu dan bukan Melayu.
Sebelum ini dicuba oleh Datuk Onn melalui Parti Negara, atau beberapa parti lain yang nampaknya tidak begitu berkesan seperti PKR?
Sebelum ini orang Melayu hanya menyokong PAS dan Umno sahaja, begitu juga Cina hanya tertumpu kepada MCA dan Gerakan dan DAP.Tetapi PKR dapat “mengambil” undi-undi daripada kedua-dua kaum ini di kawasan-kawasan yang bercampur.
Masa depan PAS di tangan DS Hadi Awang bagaimana agaknya, boleh berkembang jauh atau setakat bertahan?
Sokongan kepada PAS masih positif di bawah presiden sekarang. Sifat keterbukaan PAS semakin meluas dan agak matang. Paling penting PAS perlu mengakui negara kita yang berbilang etnik. Keperluan dan kehendak setiap etnik perlu diberi keutamaan. PAS harus menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya menyempitkan kepada Melayu-Islam semata-mata. Saya merasakan PAS telah bergerak ke arah itu dengan slogan ‘PAS untuk semua’ dan praktikkan slogan tersebut ke dalam setiap dasar, polisi, program dan pendekatan berpolitik mereka.
Bagaimana dengan DAP, apakah dapat berkembang ke Sabah dan Sarawak yang kebanyakan pengundinya bukan Melayu atau bukan Islam-ada prospek di sana?
DAP telah bertapak di Sabah dan Sarawak dan tidak mustahil untuk memperkembangkan sayapnya ke sana. Namun begitu, DAP agak strategik dalam merancangkan perkembangannya. DAP biasanya akan bertanding di kawasan bandar yang mempunyai komposisi etnik bukan Melayu yang tinggi dan ini dipraktikkan di Semenanjung. DAP tidak berkecenderungan untuk bertanding di kawasan luar bandar dan pada hemat saya DAP akan meneruskan tradisi ini.
Apa formula ketiga-tiga anggota Pakatan Rakyat untuk memenangi pilihan raya ke 13 nanti?
Mereka harus memberi tumpuan kepada golongan atas pagar .Biasanya , jika di bandar , mereka harus beri tumpuan kepada golongan menengah seperti pegawai kerajaan, pekerja di sektor korporat termasuk kepada pengundi muda.
Pengundi muda tidak ada ‘loyalti’ tidak sebagaimana pengundi tegar parti PAS atau Umno.Orang muda memilih parti berdasarkan isu dan apa yang berlaku masa kini-mereka cepat berubah. Isu mereka berdasarkan aktiviti keseharian mereka seperti isu berkaitan kewangan, sukan dan lain-lain. Isu kenaikan minyak dan harga barangan mempunyai kesan besar kepada mereka.
Katakan kenaikan harga minyak, ia memberi kesan besar kepada orang muda yang menggunakan motosikal atau kereta. Jika isu ini dieksploitkan oleh parti-parti tertentu-ia tentu menarik pengundi untuk memihak mereka.
Orang muda juga menggerakkan demonstrasi di dunia Arab sekarang?
Para bloger kebanyakannya adalah orang muda.Beberapa orang muda telah ditimpa kematian ketika demonstrasi di Tunisia, Mesir dan kini di Bahrain pula. Mereka menggunakan facebook secara berkesan dan menyeru massa ke Medan Tahrir sehingga dapat menggulingkan Hosni Mubarak.