Muslim Sri Lanka bebas ancaman LTTE
Di sebalik peristiwa itu, Muslim Sri Lanka yang sekian lama tertindas, bahkan terbunuh di tangan LTTE berasa sedikit kelegaan.Untuk mendapat gambaran terkini tentang peristiwa berdarah di negara itu, ZAIN A. GHANI telah mewawancara DR AZHARUDIN MOHAMED DALI, Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, yang mengkhusus kepada hal berkaitan Asia Selatan. Ikuti pandangan Dr Azharudin.
Dr Azharudin ditemubual Zain A. Ghani di Jabatan Sejarah UM baru-baru ini.
Bagaimana perkembangan terakhir di Sri Lanka, apakah memang benar LTTE telah benar-benar kalah apabila ketuanya Prabhakaran mati dibunuh?
Sebelum itu, saya mahu terangkan latar belakang penduduk negara itu. Kalau mengikut perangkaan 2005, penduduk Sri Lanka sebanyak 21 juta - sebahagian besar penduduk; kira-kira lebih 60 peratus adalah orang Sinhala dan majoriti besar yang kedua adalah Tamil.
Orang Tamil menguasai sebelah utara di semenanjung Jaffna sehinggalah di bahagian pantai ke sebelah timur Sri Lanka.
Manakala Sinhala menguasai bahagian selatan termasuklah di ibu kotanya Colombo dan lain-lainnya.
Orang Tamil ini sebenarnya dibawa ke Sri Lanka oleh penjajah British ratusan tahun dahulu untuk bekerja sebagai buruh di ladang-ladang teh sebagaimana kedatangan orang Tamil ke Semenanjung Tanah Melayu beratus-tahun dahulu. Di Sri Lanka juga terdapat kaum minoriti lain – dan antaranya wujud minoriti Muslim.
Apa yang wujud di Sri Lanka adalah serupa dengan yang wujud di negara kita. Cuma yang berbeza ialah keturunan etnik dan keagamaan sahaja.
Orang Sinhala di Sri Lanka ini menganut agama Buddha, manakala orang Tamil kebanyakannya beragama Hindu.
Itulah latar belakang masyarakat Sri Lanka dan persaingan kaum wujud kerana perbezaan agama dan budaya sehingga orangTamil telah menganggap budaya mereka terancam oleh orang Sinhala yang menganut agama Buddha.
Selepas Perang Dunia Kedua, negara-negara Asia Selatan kebanyakannya telah diberi kemerdekaan termasuklah Ceylon (nama Sri Lanka dahulu) yang merdeka daripada British pada tahun 1948.
Hanya negara kita agak lambat merdeka. Kebanyakan negara Asia Selatan seperti Filipina dan negeri-negeri Indo-China ini menuntut kemerdekaan secara keras dan hanya kita (Malaya) di mana kita Melayu yang majoriti tidak menuntut kemerdekaan secara tekanan (kekerasan).
Sehingga sekarang kompromi orang Melayu sangat tinggi dan memberi kebebasan yang tidak mungkin terdapat di negara lain yang mempunyai penduduk majmuk seperti Malaysia ini.
Kalau di Sri Lanka, untuk menggunakan bahasa Tamil, mereka mendapat halangan daripada orang Sinhala. Semua perkara mahu dikaitkan dengan bahasa Sinhalese.
Apakah pertukaran nama Ceylon ke Sri Lanka ada kaitan dengan “meng’sinhalese’kan” kaum lain?
Itu ada sejarah tersendiri dan menunjukkan orang Sinhala mahu mendapat keabsahan (legitimate)bahawa mereka adalah penduduk peribumi dan negara itu adalah milik mereka (Sinhala).
Dan Budhhism adalah agama utama Sri Lanka. Mereka juga sentiasa menekan penduduk lain yang minoriti dari segi budaya, agama, politik dan ekonomi sehingga perkara ini menjadi asas kepada kemunculan LTTE.
LTTE muncul pada 1960, tetapi mula aktif pada tahun 1970-an apabila Vellupilai Prabhakaran mengambil alih pertubuhan itu. LTTE bermula dengan pergerakan pelajar dan bergiat di sekolah, kolej, dan universiti. Pada awalnya tidak bersifat militan dan agak sopan walaupun mereka turut juga di dalam demonstrasi.
Bagaimana penyertaan Muslim di dalam LTTE?
Muslim di Sri Lanka sentiasa berada di dalam persimpangan. Jumlah mereka tidak ramai , sekitar 2 ½ juta ataupun lapan peratus daripada keseluruhan pendudukan negara itu.
Mereka pula terpecah kepada beberapa kategori. Yang pertama terdiri daripada orang Sinhala yang memeluk Islam. Kedua ialah Indian Muslim, dan seterusnya orang Melayu.
Muslim Sri Lanka ini agak besar jumlahnya yang dikenali sebagai Sri Lankan Muslim, iaitu hampir 90 peratus daripada keseluruhan Muslim di negara itu.
Namun kerana berlaku proses asimilasi dan mereka akhirnya menjadi “sama” dengan orang Tamil, kita dapati mereka terserap ke dalam budaya Tamil, bahkan mereka menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa harian.
Ini terjadi kerana berlaku perkahwinan campur dengan orang luar yang terdiri daripada Arab ataupun Pakistan dan mereka terserap ke dalam masyarakat Muslim.
Jika mereka tinggal di bahagian utara - oleh kerana berada di kalangan majoriti penduduk Tamil - mereka menggunakan bahasa Tamil.
Terdapat orang Melayu (Muslim) yang didatangkan British dari Nusantara secara paksa sekitar abad ke-18. Mereka berjumlah sekitar 500,000 orang dan menggunakan bahasa Melayu campuran bahasa tempatan dan bahasa Tamil.
Orang Melayu banyak terdapat di sebelah pantai timur negara itu dan beberapa kawasan lain yang banyak dikuasai atau dikawal oleh LTTE.
Itulah yang menyebabkan timbul isu dan pertentangan antara orang Melayu Muslim dengan orang Tamil yang menyokong LTTE.
Orang Islam berada di tengah-tengah di antara konflik Sighala dengan Tamil.
Desakan mula muncul sekitar 1990-an apabila orang Tamil mengatakan bahawa Muslim adalah sebenarnya kaum Tamil. Mereka didesak untuk bersama dengan LTTE berjuang menuntut Tamil Eeelam atau negara kaum Tamil.
Tetapi, kerana kebanyakan Muslim ini adalah pedagang, atau pekerja kerajaan, mereka adalah golongan neutral.
Kebanyakan Muslim lebih baik dari segi ekonomi. Mereka adalah pengusaha berbanding penyokong LTTE yang rata-ratanya adalah buruh, nelayan dan petani.
Jika kita melihat pada susunan hieraki di dalam tahap ekonomi: Pertama Sinhala, kedua Muslim dan ketiga Tamil.
Oleh kerana tekanan–tekanan ekonomi, orang Sinhala yang menguasai kerajaan, orang Tamil tidak dapat berbuat banyak untuk memperbaiki ekonomi sehingga menimbulkan reaksi penentangan itu.
Melayu dan Muslim lain yang tinggal berhampiran pantai banyak yang terlibat di dalam aktiviti penangkapan ikan dan dalam pertikaian kerajaan dengan LTTE ini menyebabkan mereka berada di dalam dilema.
Dan dilema semakin parah apabila Prabhakaran mendesak supaya Muslim menyokong perjuangan mereka. Tetapi Muslim tidak mahu bersama (menyokong) perjuangan LTTE.
Saya dapat melihat foto-foto pembunuhan orang Islam oleh LTTE sehingga di dalam masjid. Kenapa mereka begitu bengis dan kejam terhadap Muslim?
Dahulunya mereka membunuh Muslim Sinhala sahaja tetapi merebak kepada Tamil-Muslim/Sinhala pula.
Di wilayah Trincomalee dan Batticalau ini terdapat ramai Muslim dan banyak berlaku pembunuhan pada penghujung 1980-an sehingga 1990-an.
Bermula daripada peristiwa-peristiwa itulah Muslim mula memberi sokongan kepada kerajaan Sri Lanka. Ini semakin menambahkan kemarahan penggerak LTTE.
Banyak insiden di mana mereka dihalau keluar dari kampung-kampung, rumah dirampas dan sebahagiannya dibunuh. Sekiranya mereka nelayan, aktiviti mereka sentiasa diganggu LTTE kerana kawasan pantai bahagian utara dikawal sepenuhnya oleh LTTE.
Nampaknya LTTE mempunyai persenjataan dan bot-bot yang canggih. Dari manakah sumbernya?
Itulah yang menghairankan banyak pemerhati dan penganilisis politik sehingga mengejutkan tentera Sri Lanka dan kita kita dapati sebahagian daripada senjata moden itu didatangkan daripada Tamil Nadu, selatan India.
Kita juga mendapat maklumat bahawa penyokong LTTE ini berada di mana-mana terutamanya di Eropah. Masyarakat Tamil secara keseluruhan, sama ada bersetuju atau tidak, secara terbuka akan memberi sokongan kepada kewujudan sebuah negara Tamil di utara Sri Lanka.
Bagaimana dengan sokongan masyarakat Tamil di luar Sri Lanka?
Pada kebanyakan orang Tamil, mereka melihat perjuangannya sebagai “jihad” dan mereka menganggap sebagai “mati syahid” di dalam konteks itu.
Apabila kita melihat laman web LTTE berhubung peristiwa pembunuhan Prabhakaran, mereka mengatakan dia seorang yang martyr ataupun syahid. Mereka mendakwa konsep perjuangan mereka adalah sama dengan yang dilalui orang Islam di Iraq, Afghanistan atau Kashmir.
Apabila isu etnik dikaitkan dengan agama dan bangsa, maka perkara ini menimbulkan permasalahan di dalam menilai LTTE.
Apakah tindakan kerjaan Sri Lanka seterusnya terhadap LTTE? Apakah akan muncul atau bangkit semula perjuangan LTTE ini?
Ada beberapa perkara yang mahu saya timbulkan. Kita harus beri perhatian. Pertama, kemunculan “Prabhakaran baru” adalah suatu kemungkinan. Walaupun Prabhakaran telah mati tetapi oleh kerana LTTE telah berada lama dan bersemadi di dalam pemikiran masyarakat Tamil, hampir 40 tahun.
Yang terbunuh itu adalah pejuang-pejuang sekarang, tetapi berdasarkan sejarah, sesuatu ideologi tetap akan wujud sebagaimana komunis. Walaupun negara komunis hampir runtuh, tetapi masih lagi wujud ideologi itu. Kini ada di India, Nepal, bahkan China (walaupun kini agak terbuka).
Oleh kerana keinginan wujud sebuah negara Tamil merdeka (termasuk Tamil Nadu, India) akan tetap wujud/muncul. Namun begitu kerajaan Sri Lanka harus terus memantau apa sahaja unsur yang dikaitkan dengan LTTE.
Sebarang organisasi yang ada kaitan dengan kaum Tamil tidak akan diberikan ruang menjadi kuat dan berpengaruh sehingga dapat menjadi kuasa militan.
Pandangan Dr di dalam kes ini demi pembaikan rakyat Sri Lanka , baik Tamil yang Hindu dan Tamil yang Muslim. Bagaimana kalau mereka melihat model negara kita Malaysia yang mesra semua kaum?
Kerajaan Sri Lanka harus memastikan orang Tamil terserap di dalam sistem Sri Lanka itu. Sebelum ini mereka ditindas dan didiskriminasi. Sekiranya kerajaan Sri Lanka tidak mahu melihat kelahiran semula LTTE dan walaupun model kita bukanlah 100 peratus betul, tetapi pada masa yang sama dapat mengurangkan emosi dan tekanan antara etnik.
Isu yang paling penting yang telah kita lakukan ialah persamaan di bidang ekonomi. Di sana (Sri Lanka), oleh kerana jurang ekonomi begitu jauh, inilah yang menimbulkan permasalahan.
Apabila perut kita “kencang”, maka emosi pun terkawal. Ketika perut lapar, kocek kosong, bahasa ibunda pula dinafikan, bahkan maruah hilang. Apa lagi yang tinggal?
Jadi, mudah mereka terserap kepada golongan bersifat kiri dan militan.
Dan juga faktor kewujudan golongan ekstem di kalangan Sinhala sendiri yang cuba menekankan bahawa “Sri Lanka adalah negara kaum Sinhalese sahaja.”
Bagaimana kehidupan orang Islam setelah kematian Prabhakaran?
Orang Islam biasanya moderat - sekiranya ekstrem, mereka benar-benar menjadi ekstem. Tetapi di dalam konteks Sri Lanka, mereka menyedari bahawa mereka adalah minoriti.
Jika kembali kepada sejarah, pada abad ke-8 dan 9 , Muslim menguasai jalan perdagangan di negara itu. Tetapi pada awal abad ke-19, mereka didatangkan dari Tamil Nadu sebagai buruh di ladang-ladang teh dan ada juga yang menjadi tentera.
Harapan kita setelah kematian Prabhakaran dan LTTE-nya adalah kehidupan Muslim dan kaum-kaum lain semakin dihormati rakan-rakan Sinhala.
Sri Lanka yang aman berpotensi besar di bidang industri, pelancongan, hasil buminya yang belum dibangunkan. Ia berpotensi besar seperti Hong Kong dan China.
